CARA-CARA MENGHORMATI GURU

Soalan:
Guru seumpama ibu bapa kepada murid-murid semasa berada di sekolah. Oleh yang demikian guru perlu dihormati.Tulis sebuah karangan bertajuk cara-cara menghormati  guru.

Semasa kita berada di sekolah, gurulah yang menjaga dan mendidik kita. Guru seumpama ibu bapa kepada kita sepanjang masa kita berada di sekolah. Kerana peranan yang sebegini besar maka guru amat perlu dihormati sepanjang masa.

Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Salah satu caranya adalah dengan mengucapkan salam ketika kita bertemu dengan guru. Seorang guru akan berasa senang hati apabila murid-murid mengucapkan salam dan mendoakan kesejahteraanya.

Seterusnya, sikap tekun belajar dan mendengar dengan teliti setiap ajaran guru ketika berada di dalam kelas juga merupakan satu cara untuk menghormati guru. Guru akan berasa bahagia dan dihargai apabila kita mendengar dengan teliti ketika mereka mengajar. Guru kita pasti akan mengajar kita dengan penuh kesungguhan.

Selain itu, kita juga boleh menghormati guru dengan cara bersikap sopan santun dan berbudi bahasa ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru. Murid yang berbudi bahasa dan bersopan santun juga akan lebih disayangi oleh guru. Sekiranya kita bersikap biadap ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru, sudah pasti akan membuatkan guru berasa terhina dan tidak dihormati. Oleh yang demikian kita hendaklah menjaga kelakuan kita ketika bercakap dengan guru.

Di samping itu, jika kita melakukan kesilapan atau terlupa menyiapkan tugasan  yang diberi oleh guru, kita hedaklah memohon maaf. Sebagaimana di rumah, sekiranya kita tersilap maka kita meminta maaf daripada ibu bapa kita. demikian juga ketika berada di sekolah. murid yang meminta maaf dan mengakui kesilapan yang dilakukan akan membuatkan guru berasa senang hati dan berasa lebih dihargai dan dihormati.

Kesimpulannya, banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa menghormati guru-guru kita kerana mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka mendidik kita.

5 Comments

Post a Comment