Soalan:
Stres amat berbahaya kepada kita jika tidak ditangani dengan betul.Bincangkan cara-cara untuk mengatasi stres.

Stres atau tekanan ialah gangguan emosi dari segi pemikiran dan fizikal kita. Hal ini berlaku apabila kita merasa terbeban terhadap sesuatu perkara. Stres  yang keterlaluan amat berbahaya kerana ia memudaratkan kesihatan mental dan fizikal kita. Oleh sebab itu kita perlu mengatasinya dengan betul.

Antara cara mengatasi stres ialah dengan bangun awal setiap hari. Apabila kita bangun awal untuk ke sekolah kita tidak akan terburu-buru atau tergopoh-gapah untuk bersiap dan menguruskan diri. Sekiranya kita bangun lewat, kita akan merasa tertekan untuk bersiap-siap ke sekolah kerana bimbang terlambat atau ketinggalan bas.

Selain itu, kita perlu belajar dan tidur di dalam bilik yang selesa dan kemas. Sekiranya bilik kita berselerak ia akan menyebabkan kita berasa tertekan dan tidak selesa untuk belajar. Kita juga tidak mendapat tidur yang cukup dan berkualiti. Sekiranya tidur kita tidak mencukupi maka kita akan mudah merasa letih dan tertekan.

Di samping itu kita boleh mengatasi stres dengan membuat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan. Kita akan merasa risau dan bimbang sekiranya lewat membuat persediaan untuk menghadapi sesuatu peperiksaan. Kebimbangan sebegini akan menyebabkan stres atau tekanan.

Kita juga boleh mengatasi stres dengan berkongsi atau menceritakan masalah yang dihadapi kepada ibu bapa kita. Jika kita memendamkan masalah yang dihadapi, lama-kelamaan ia akan menyebabkan kita merasa tertekan atau stres. Dalam hal ini, ibu bapa kita sudah pasti mempunyai banyak pengalaman untuk membantu kita mengatasi sesuatu masalah.

Kesimpulannya, kita perlu mengatasi stres atau tekanan yang dihadapi dengan cara yang betul agar tidak memudaratkan kesihatan kita.

Post a Comment